Bila Insomnia Datang Bertandang

Di kesunyian malam, pasti seseorang dalam jumlah infiniti manusia di dalam bumi tua ini sedang memikirkan apa yang sedang terjadi, mencuba untuk memahami segala teka-teki kehidupan, mencari penyelesaian setiap satu permasalahan yang dihadapi dan memikirkan setiap logik segala kejadian yang berlaku di hadapan mata.

Aku?
Aku di dalam kategori dalam orang yang memikirkan segala jenis permasalahan sehingga insomnia datang tanpa dijemput. Masalah, konflik dan situasi yang dihadapi bukan sebesar masalah yang dihadapi oleh orang lain yang berada di setiap ceruk dunia yang teramat besar bagi seorang manusia yang kerdil seperti aku jika dibandingkan dengan galaksi namun cukup untuk membuat aku bercelik mata sehingga ke saat ini.
Permasalahan apa?
 Konflik ku dengan dunia tidaklah sekritikal konflik yang aku hadapi dengan diri sendiri. Kemampuan aku untuk menyuarakan isi hati yang terbuku setelah sekian lama sering terbatal kerana rasa risau dan ketakutan yang memnghantui andai aku menyakitkan sesiapa dengan kata-kata yang bakal aku muntahkan jika bersuara menjadi pilihan dalam penyelesaian. Namun, aku sedari dari saat ke saat tidak bersuara juga   melukakan perasaan orang-orang yang berada di sekelilingku. Tetapi, aku dilema.

Dilemma dalam dua pilihan.
Melukakan perasaan orang lain dengan setiap bait perkataan yang aku luahkan atau dengan bunyi nyaring kesunyian yang aku suarakan.
Yang mana menjadi pilihan? Tiada jawapan, tiada bantuan dalam membuat keputusan namun aku terus membiarkan tanganku memeluk tubuh tetap berkeras untuk tidak menghulurkan tangan. Bantuan seolah-olah tidak kuperlukan pada masa genting seperti ini.
Dilema ini tidak mudah dirungkaikan.

Namun, tidak semua susah untukku putuskan pada masa ini. Ssetengah hal yang salah dan tidak sepatutnya dilakukan kadang-kala perlu dilakukan. Bukan untuk menjadi seorang yang jahat, tetapi untuk belajar, itulah hidup. Sejauh mana pun kita merancang, terlalu banyak kejutan yang menanti selepas satu saat berlalu dalam hidup.

Kawan, Sahabat atau sekadar Teman? Hormat dan Kesopanan itu perlu dalam Hidup...
Tidak aku memilih malam ini untuk menulis definisi ketiga-tiga perkataan ini, namun aku bingung, sama ada semakin dalam, semakin kukuh hubungan itu dalam konteks ini, perlukah perkaraan yang menunjukkan kesopanan dan rasa hormat makin dalam terselam hingga hilang ke dasar tidak ternampak pun bayangnya di permukaan di dalam konteks perbualan harian? Setiap perkataan itu mempunyai kuasa magis yang tersendiri, manusia alpa sebentar dan hilang rasionalnya dalam kegirangan hidup. Dalam kealpaan itu, seseorang terluka dalam diam namun menolak untuk melukakan, menolak untuk melontar boomerang ke arah orang lain. Itu analogi yang bisa aku fikirkan.
Namun, mengasihani diri bukan satu pilihan dalam mencari solusi konflik ini. Tanpa rasa hormat dan hilangnya kesopanan, tamatlah segalanya. Aku tidak akan bertoleransi dalam hal ini kerana tanpa dua aspek ini dalam sesuatu perhubungan tidak kiralah antara jantina yang sama atau berlainan, itulah asas sesuatu perhubungan. Jika tidak memiliki dua aspek ini, kita bukanlah atas dasar teman, kawan mahupun sahabat. Kita cumalah berdiri di atas garisan halimunan yang menjadi tanda kita cuma mengenali diri masing-masing atas dasar kenal, tidak kurang dan tidak lebih.

Terlalu banyak ingin ku coretkan lagi namun kepenatan menjalani kehidupan seharian yang sibuk menyelesaikan segala tanggungjawab sebagai seorang pelajar menguasai diri ini. Bantal dan selimut menjadi teman di kala menulis luahan hati, menguap menjadi tanda masa untuk tidur dan insomnia berlalu pergi tatkala luahan habis ku paparkan di skrin komputer kecil ku dan jari-jari panjangku menekan punat menjadikan setiap huruf menjadi perkataan dan perkataan membentuk ayat.



Selamat malam.
  


Comments

Popular posts from this blog

Manners Maketh Man